PERANAN MEDIA MASA TERHADAP PROSES SOSIALISASI POLITIK DI MALAYSIA
Bincangkan dengan kritis peranan yang dimainkan dan kesan yang diberikan oleh media masa terhadap proses sosialisasi politik di Malaysia.
1.0 Pengenalan.
Media massa tempatan memainkan peranan menyampaikan situasi semasa dan perkembangan politik yang berlaku di negara kita. Tentu kita masih ingat reformasi dan tindakan liar segelintir penyokong Datuk Seri Anwar di ibu kota Kuala Lumpur. Bagaimanakah kita mendapat maklumat tersebut? Sudah tentu kita mendapatkan maklumat tersebut melalui media massa. Maklumat yang disampaikan itu dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang isu tersebut. Walau bagaimanapun, tafsiran berita tersebut terpulanglah kepada kita sendiri untuk menilainya.
Oleh itu, kita tidak boleh menafikan peranan dan kesan media massa terhadap proses sosialisasi politik di Malaysia. Inilah tajuk yang akan kita kupas dan bincangkan secara kritis. Perbincangan kita mengenai media massa adalah secara umum, namun di Malaysia, akhbar dan televisyen lebih berperanan dan berpengaruh. Media massa merupakan salah satu agen kepada proses sosialisasi politik. Media massa sering memaparkan isu-isu semasa. Oleh itu, pembaca dan pendengar akan sentiasa memerhatikan dan mengikuti perkembangan isu-isu semasa di samping dapat menguatkan nilai politik yang wujud. Terdapat penentu-penentu sosialisasi politik yang lain seperti keluarga, pendidikan, organisasi agama, kumpulan rakan sebaya, pekerjaan dan sebagainya.
Apakah peranan media massa dalam proses sosialisasi politik di Malaysia? Pada dasarnya, peranan media adalah untuk memberikan maklumat kepada orang ramai. Berdasarkan maklumat tersebut media massa memainkan peranan dalam proses sosialisasi politik. Adakah media massa mampu memberikan kesan terhadap proses sosialisasi politik di Malaysia? Apabila maklumat disebarkan dengan pantas dan meluas kepada orang ramai sudah pasti mampu memberi kesan terhadap proses sosialisasi politik. Inilah intipati kepada isu yang akan kita bincangkan. Sebelum kita membincangkan isu tersebut kita perlu mengupas takrif media massa dan sosialisasi politik.
2.0 Definisi media massa
Menurut kamus Dewan media massa membawa maksud pelbagai jenis alat perhubungan (seperti televisyen, radio, surat khabar, majalah dan sebagainya) yang dapat menyampaikan maklumat kepada orang ramai dengan cepat (Kamus Dewan, 1989). Media massa membolehkan orang-orang yang tinggal di pelbagai tempat menerima maklumat yang serupa dengan pantas. Oleh itu, media massa memberikan peranan yang penting kepada manusia dan memberi kesan-kesan tertentu kepada kehidupan manusia. Semua jenis komunikasi melalui media massa menunjukkan penyebaran maklumat yang sama dan meluas kepada penerima-penerima yang ramai dan berselerak di merata-rata tempat (Mansor Ahmad Saman. 1984:51).
3.0 Definisi sosialisasi politik
Sosialisasi politik ditakrifkan sebagai satu proses pembelajaran individu mengenai politik dan budaya politik dalam masyarakat. Apakah yang dimaksudkan proses pembelajaran individu mengenai politik.? Aspek-aspek yang dipelajari dalam proses sosislisasi politik ialah sejauhmana pengetahuan tentang negara, kerajaan dan kerajaan tempatan, peranan kakitangan kerajaan dan pengetahuan tentang hak-hak politik dan tanggungjawab rakyat (Y. Mansoor Marican, 1982:181). Apakah pula yang dimaksudkan budaya politik? Mengikut Samuel Beer, budaya politik merangkumi sikap kepercayaan, emosi dan nilai sesuatu masyarakat tentang cara kerajaan memimpin dan perkara yang dibuat yang berkaitan dengan sistem politik dan isu-isu politik (Beer dan Adam Ulan, 1958:32).
Oleh itu, sosialisasi politik merupakan proses pembentukan dan perkembangan sikap, nilai kepercayaan terhadap sistem politik. Proses ini adalah penting dalam memupuk ketaatan
atau kesetiaan kepada sesebuah negara . Dengan adanya pemupukan sikap dan nilai tertentu, maka ia boleh meningkatkan sokongan atau penyisihan daripada sistem politik.
Sosialisasi politik juga bermaksud “ semua pendidikan politik, fomal dan tidak formal , dirancang atau tidak dirancang , di setiap peringkat dalam ruang lingkup kehidupan , termasuk bukan sahaja pendidikan politik yang jelas bahkan juga berkaitan yang membentuk bukan politik yang menjejaskan tingkah laku politik, seperti mempelajari sikap sosial yang berkaitan dengan pencapaian watak personaliti yang berkaitan. (Dennis E.E. et al .1994:96). Ringkasnya, sosialisasi politik merupakan satu proses bagaimana kita mula mempelajari politik dan bagaimana kita memiliki sikap dan nilai terhadap intitusi politik.
4.0 Sejarah media massa di Malaysia.
Di Malaysia, media massa bermula dengan surat khabar. Akhbar pertama yang diterbitkan di negara ini ialah sebuah akhbar bahasa Inggeris yang diberi nama Prince of Wales Island Gacette yang diterbitkan di Pulau Pinang pada tahun 1807. Ini diikuti oleh penerbitan akhbar-akhbar lain dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu, bahasa Cina, bahasa Tamil dan sebagainya.
Akhbar berbahasa Melayu yang pertama ialah Jawi Peranakan yang diterbitkan di Singapura pada tahun 1896. Manakala akhbar bahasa Cina yang pertama, Chinese Monthly Magazine telah diterbitkan di Melaka pada tahun 1815. Sejak kemunculannya dari awal kurun ke-19, akhbar dalam berbagai bahasa di negara ini berkembang dengan pesatnya sehingga ke hari ini. Media elektronik, radio dan televisyen di negara ini mempunyai sejarah sejak tahun 1923 apabila eksperimen-eksperimen dalam penyiaran telah dimulakan oleh beberapa orang amatur di negeri Johor melalui gelombang sederhana 300 meter. Urusan-urusan penyiaran secara
profesional telah dimulakan pada tahun 1937, dan menjelang tahun 1996 Malaya (ketika itu)
sudah mempunyai Jabatan Penyiarannya. Sejak itu, media elektronik telah berkembang dengan pesat di negara ini. Siaran televisyen telah dimulakan pada tahun 1963 dan pada 1978, Malaysia memulakan siaran televisyen warna.
5.0 Klasifikasi media massa di Malaysia
Media massa di Malaysia terbahagi kepada dua klasifikasi iaitu media cetak dan media elektronik. Media cetak merangkumi semua jenis bahan bercetak seperti akhbar, jurnal, buku, majalah dan sebagainya. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “kuasa sebatang pen lebih tajam daripada sebilah pedang”. Pepatah ini bermaksud bahawa media cetak mempunyai kuasa dan pengaruh kepada masyarakat. Akhbar merupakan merupakan media cetak yang penting dan berpengaruh di Malaysia. Hal ini kerana akhbar merupakan sumber maklumat yang paling mudah didapati untuk ditatapi oleh oleh semua golongan rakyat. Oleh itu, akhbar memainkan peranan penting dan mampu memberi kesan terhadap proses sosialisasi di Malaysia. Manakala media cetak yang lain seperti majalah, jurnal, buku dan sebagainya tidak begitu ketara peranan dan kesannya.
Media elektronik pula, merangkumi televisyen dan radio. Televisyen lebih berpengaruh jika dibandingkan dengan radio. Hal ini kerana pertumbuhan dan keunggulan TV dalam kehidupan kita sehari-hari di samping peningkatan teknologi dalam memancarkan maklumat (Dennis, E.E 1994:96). Apabila menonton dan mendengar maklumat yang disampaikan melalui televisyen maka, media tersebut akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakyat sesebuah negara. Perbincangan dalam tugasan ini akan ditumpukan kepada aspek peranan dan kesan media massa secara umum terhadap proses sosialisasi politik di Malaysia.
6.0 Kedudukan media massa di Malaysia
Di Malaysia, televisyen dan akhbar merupakan media massa yang memainkan peranan penting dan mampu memberi kesan kepada proses sosialisasi politik. Sebilangan besar berita dalam media massa berpunca daripada kerajaan , sistem dan ideologi sesebuah kerajaan sudah pasti mempengaruhi media massa serta isi kandungan dan penulisannya. (Mohd. .Hamdan Hj.Adnan 1995:134). Kerajaan Malaysia boleh dikatakan mengambil jalan berwaspada dalam hal ini. Kerajaan mempunyai kuasa ke atas media massa dengan mengadakan pelbagai peraturan dan undang-undang. Memandangkan kerajaan Malaysia cukup peka terhadap kuasa media dalam mempengaruhi pendapat umum, jumlah undang-undang dan peraturan untuk mengawalnya terlalu banyak iaitu, lebih kurang 50 undang-undang dan peraturan yang mengawal semua bentuk komunikasi dan media massa (Mohd. .Hamdan Hj.Adnan. 1995:141).
Sebilangan undang-undang yang mengawal media massa di Malaysia agak ketat. Antaranya ialah kuasa Menteri Dalam Negeri untuk menutup akhbar yang dianggap menjejaskan negara tanpa surat arahan Mahkamah. Kadar masa tutup juga adalah di bawah kuasa budi bicara Menteri berkenaan dan ianya berlarutan sehingga pihak menteri merasakan bahawa media massa tersebut tidak lagi membahayakan keselamatan awam.
Di Malaysia, pemilikan media massa khasnya media elektronik dimiliki oleh kerajaan dan swasta. Walau bagaimanapun, kerajaan mengawal media elektronik swasta melalui Akta Penyiaran. Manakala media cetak secara umumnya dimiliki oleh pihak swasta. Walau bagaimanapun, pemiliknya adalah dikaitkan dengan parti-parti politik atau individu-individu yang sebenarnya adalah wakil kepada parti-parti politik yang berkuasa (Mohd Hamdan Hj.Adnan, 1995:130). Media cetak di Malaysia dikawal oleh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Bagaimanakah kedudukan parti pembangkang sekiranya media massa dikawal dan
dimonopoli oleh kerajaan yang memerintah? Di Malaysia, parti pembangkang juga mempunyai media cetaknya sendiri seperti akhbar “Harakah” yang hanya boleh disebarkan kepada ahli-ahlinya sahaja. Media massa di Malaysia masih didominasi malah dimonopoli oleh kerajaan dan tidak menggalakkan satu perspektif yang liberal. Walaupun penswastaan sudah diamalkan dalam bidang radio dan televisyen, kesannya hanyalah untuk menambah unsur-unsur hiburan. Akta Penyiaran menjadi satu ancaman kepada pertumbuhan sistem penyiaran yang liberal. Contohnya, parti politik pembangkang diketepikan untuk mengutarakan pandangan mereka tentang hal-hal kenegaraan, walaupun mereka dipilih oleh rakyat untuk mewakili mereka di Parlimen. Hal ini menafikan demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Parti pembangkang di Malaysia tidak mendapat tempat dalam media massa. Parti pembangkang seharusnya diberi peluang menyiarkan pandangan dan maklumat selagi tindakan itu tidak menyalahi undang-undang (Berita Harian, 24 April 2002).
Kawalan kerajaan ke atas kebebasan media massa penting untuk menjamin keharmonian, ketenteraman awam dan keselamatan negara. Media massa yang tidak dikawal boleh membangkitkan semangat perkauman dan menyentuh isu sensitif serta mempunyai unsur provokasi yang mewujudkan keadaan yang tidak stabil (Berita Harian , 24 April 2002). Oleh itu, ada wajarnya jika media massa dikawal oleh kerajaan, namun kawalan tersebut haruslah bertepatan dan tidak menyekat kebebasan akhbar untuk bersuara.
7.0 Peranan dan kesan media massa terhadap proses sosialisasi politik di Malaysia
7.1 Sumber maklumat mengenai kerajaan.
Media massa, khasnya akhbar dan televisyen, memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat mengenai kerajaan. Media massa dengan jelas adalah sumber maklumat
utama mengenai kerajaan (Dennis E.E et. al. 1994:103). Media massa menjadi orang tengah antara kerajaan dan rakyat. Melalui media media massa , kerajaan boleh menerangkan dasar-dasar atau projek-projeknya yang hendak dirancang atau hendak dilaksanakan (Mohd. Hamdan Adnan ,1986:6). Media massa menerangkan dan memberi liputan secara meluas dan mendalam tentang dasar dan rancangan kerajaan bagi membolehkan rakyat memahami dengan tepat dan sepenuhnya segala dasar dan rancangan tersebut.
Oleh itu, media massa memainkan peranan penting dan sentiasa memberi perhatian kepada aktiviti dan tindakan kerajaan serta melaporkannya kepada rakyat. Organisasi sektor awam sering menjadi perhatian dan pandangan umum (Wan Azmi, 1993:198). Hal ini kerana aktiviti dan tindakan sektor awam dianggap sebagai tindakan kerajaan. Media massa juga berperanan menggalakkan perhatian rakyat dan cara mereka berfikir untuk melahirkan perubahan sikap yang positif sejajar dengan kehendak dan dasar kerajaan. Media massa digunakan dengan berkesan oleh pemerintah bagi membina sikap rakyat yang positif terhadapnya ( Mohd Hamdan Hj.Adnan 1995:134). Oleh itu, media massa memberi kesan terhadap kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan.
Maklumat mengenai kerajaan yang memerintah dapat memberi kesan kepada sokongan politik. Kejayaan kerajaan yang memerintah yang disalurkan oleh media massa akan meningkatkan sokongan politik. Kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh negara di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mempengaruhi pilihan raya 1999 dan membawa kemenangan kepada kerajaan Barisan Nasional.
Kegagalan kerajaan dalam mentadbir negara akan memberi kesan kepada rakyat sama ada menyisih daripada politik atau menyokong parti pembangkang. Maklumat mengenai kerajaan yang disalurkan oleh media massa juga boleh menjatuhkan pemerintahan sesebuah negara. Tentu kita masih ingat ketika dahulu negeri Sabah di bawah pemerintahan parti pembangkang PBS ( Parti Bersatu Sabah). Ketika itu, peranan media memberikan maklumat
mengenai kegagalan pemerintahan PBS di Sabah seperti penyelewengan, rasuah dan sebagainya telah menyebabkan kemusnahan pemerintahan PBS di negeri Sabah. Jadi, peranan media dalam memberi maklumat mengenai parti PBS telah menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada PBS dan akhirnya membawa kepada kejatuhan tampuk pemerintahan PBS di Sabah.
Media massa juga menyalurkan maklumat mengenai situasi dan perkembangan pemerintahan negara-negara di dunia. Contohnya, televisyen TV 1 menyiarkan Berita Dunia. Kegagalan pemerintahan dan sistem pemerintahan sesebuah negara dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat dalam menilai pemerintahan dan sistem yang diamalkan. Contohnya, kegagalan pemerintahan Indonesia menyebabkan negara tersebut dalam keadaan yang tidak stabil dan huru-hara. Keadaan yang berlaku di Indonesia telah mempengaruhi pengundi dan rakyat di Malaysia dalam pilihan raya 1999. Pengundi Cina di negara ini menilai perkembangan di Indonesia dengan perasaan traumatik dan mereka tidak mungkin mengundi parti politik yang boleh menjerumuskan negara ke arah konflik kaum seperti di Indonesia. (Baharom Mahusin, massa 29 mei 1999). Kesan ini diakui oleh Napoleon yang pernah berkata, “Tiga buah akhbar yang tidak bekerjasama dengan pemerintah adalah lebih berbahaya daripada tikaman 1000 benet”. Oleh itu, media massa memberi implikasi kepada tampuk pemerintahan sesebuah negara .
7.2 Pemujukan politik dan sokongan politik
Media massa berperanan dalam melakukan pemujukan politik di negara ini. Media massa dapat menyampaikan maklumat dengan pantas dan meluas, merangkumi bilangan pendengar, penonton dan pembaca yang tiada had ramainya (Mansor Ahmad Saman, et. al. 1984:58). Menurut Laporan Mac Bride (Unesco 1984: 153), media massa yang mempunyai pengikut yang besar mampu bertindak sebagai forum bagi idea-idea revousiner dan
mendedahkan penyalahgunaan kuasa dan skandal. Maklumat yang disalurkan oleh media massa dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat dalam politik. Peningkatan pengetahuan dalam politik amat penting bagi mematangkan masyarakat dalam membuat keputusan mengenai politik terutama dalam negara demokrasi.
Suasana dan perkembangan politik semasa yang berlaku sejak akhir-akhir ini membuat masyarakat semakin peka dan semakin serius ingin mengetahui perkara yang sebenarnya berlaku. Oleh itu, media massa memainkan peranan untuk mendapatkan liputan dan menjelaskan isu-isu politik. Contohnya dalam pilihan raya 1999, banyak isu politik yang hangat diutarakan oleh parti pembangkang seperti kronisme dan nepotisme, kes bekas ahli parlimen iaitu Lim Guan Eng , kes pemecatan bekas TPM Datuk Seri Anwar dan sebagainya. Kes Anwar misalnya, mampu memberi masalah kepada Barisan Nasional kerana UMNO kehilangan tokoh yang membawa imej keagamaan dan memperjuangkan Islam melalui penglibatannya dalam ABIM sebelum ini (Rosni Hassan, 2 Oktober 1999). Oleh itu, melalui media massa , Barisan Nasional dapat menjelaskan isu-isu politik tersebut. Kesannya, secara tidak langsung dapat mempengaruhi pemikiran rakyat dan mendapat sokongan politik. Isu-isu politik yang disalurkan oleh media massa di Malaysia menyokong parti memerintah. Maka, secara tidak langsung dapat membentuk sikap, emosi dan nilai masyarakat yang menyokong parti yang memerintah. Maka secara tidak langsung kerajaan BN dapat memenangi hati pengundi dan menang dalam pilihanraya 1999.
Di negara kita, media massa boleh dijadikan sumber untuk mendapatkan maklumat secara berkesan kerana kita tahu sumbernya berbanding dengan surat layang. Kejayaan untuk mendapatkan pemimpin yang berwibawa dan mempunyai visi ke hadapan tidak akan tercapai tanpa maklumat yang tepat untuk ditimbangi secara saksama oleh masyarakat. .Mengikut Davison dalam bukunya “Internasional Politikal Communication” sumber maklumat yang boleh memberi gambaran sebenar secara tidak langsung membantu calon dalam pilihan raya
ialah daripada media massa (Azizul Halim Yahya, November 1993). Oleh itu, media masa berperanan untuk menyalurkan maklumat mengenai pemimpin, calon pilihan raya, parti politik dan sebagainya. Peranan ini dapat membantu masyarakat membuat pertimbangan yang sewajarnya daripada maklumat tersebut.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa melalui peranan media massa sebagai alat pemujukan politik dan sokongan politik telah memberi kesan yang besar kepada proses sosialisasi politik. Media massa membolehkan perubahan sosiopolitik dijalankan dengan aman, memberi maklumat tentang ahli politik, dan berupaya melibatkan lebih ramai rakyat dalam proses politik; menyebarkan berita dan menjadikan rakyat lebih mengetahui tentang hal-ehwal negara; memberikan pelbagai pengalaman sosialisasi melalui menonton rancangan serta membaca berita; dan mengajarkan nilai sosial yang dapat diterima oleh masyarakat. Kesan ini dapat dilihat melalui maklumat-maklumat yang disampaikan oleh media massa tentang ahli-ahli politik yang bertanding dalam pilihan raya dan isu-isu yang sebenarnya kepada khalayak ramai.
Kita dapat melihat bahawa media massa dikawal oleh kerajaan dalam menyampaikan sesuatu maklumat seperti ketika kempen pilihan raya diadakan. Pihak media massa lebih banyak mengutarakan isu-isu yang menyokong parti pemerintah. Kesan daripada tindakan media massa yang dikawal kerajaan ini adalah rakyat akan memberi sokongan politik kepada parti pemerintah, membantu calon-calon pilihan raya, dan memberi sokongan kepada rakyat dalam memilih calon yang sesuai. Contohnya, dalam pilihan raya tahun 1999 yang lalu, pengundi-pengundi di Johor berminat dengan isu-isu yang dibawa oleh pembangkang. Keadaan ini berlaku
kerana kedudukan Johor di selatan tanah air dan maklumat-maklumat isu terkini pembangkang amat kurang diterima. Oleh itu, mereka menghadiri ceramah-ceramah pihak pembangkang. Untuk mendapatkan semula sokongan pengundi maka UMNO Johor telah meningkatkan program penjelasan dan menyalurkan fakta yang tepat terhadap sesuatu isu berbangkit (Berita Harian, 20 Ogos 1999).
Tindakan cekap, cepat dan penuh taktik daripada media massa sebagai alat sokongan dapat memulhkan kembali situasi mencemaskan di Johor. Tindakan dan taktik berpolitik ini bukanlah sesuatu yang luar biasa atau tidak bermoral, tetapi ianya adalah satu cara politik untuk mempertahankan pengundi dan kuasa serta memastikan demokrasi dapat berperanan seimbang dengan mentaliti dan kebudayaan masyarakat semasa (Zakry Abadi, 1992: 248) Kesan peranan media sebagai alat pemujukan politik dapat dilihat melalui cara-cara media massa menanam keyakinan pengundi atau rakyat kepada pemerintah. Dalam hal ini, media massa banyak memainkan peranan menyokong pemimpin politik UMNO, membantu membangkitkan isu-isu sebenar, dan mengubah pendapat dan mempengaruhi pengundi bertindak memberi sokongan padu kepada UMNO dalam pilihan raya 1999.
Namun begitu, media massa yang dikawal oleh kerajaan ini boleh memberi kesan negatif. Media massa dilihat sebagai ‘kedai’ menjual calon politik sebagai barang komersil; tidak mementingkan isu-isu sosial dan politik sebenar dan yang penting, menjanakan peristiwa palsu untuk menjadikan berita lebih menarik; mengemukakan model yang salah untuk mempelajari proses sosialisasi. Menurut Halloran (1970), televisyen dituduh beroperasi untuk menyokong kepentingan politik untuk mereka yang ada keuntungan daripadanya; dan menghalang pembangunan demokrasi yang benar-benar mendapat penyertaan rakyat.
Sokongan yang diberikan media massa kepada kerajaan boleh menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap parti politik yang memerintah. Media massa yang gagal melaksanakan tugas dengan adil dan saksama dalam memberi sokongan politik dan menyampaikan maklumat bagi pihak pemerintah sahaja dianggap bertindak berat sebelah. Suasana politik dan perkembangan semasa yang berlaku membuatkan masyarakat lebih peka dan lebih serius ingin mengetahui hal sebenarnya. Kekangan dan halangan yang berlaku menyebabkan prinsip demokrasi tidak diamalkan sepenuhnya. Oleh itu, media massa yang terlampau memberikan sokongan kepada parti politik yang memerintah akan menyebabkan
rakyat menganggap sistem demokrasi tidak lagi berfungsi mengikut maksudnya yang sebenar. Isu-isu yang diutarakan oleh media massa hanya menyokong kerajaan juga boleh menyebabkan masyarakat hilang keyakinan terhadap media massa sendiri. Justeru, di sebalik kekangan yang wujud, media massa seharusnya lebih bersikap adil dalam menyalurkan maklumat politik agar masyarakat menerima berita politik daripada semua parti politik tanpa mengira sama ada ia parti pemerintah atau parti pembangkang.
7.3 Penentuan agenda
Fungsi pembentukan agenda media massa adalah keupayaan media massa untuk memilih dan menekankan isu-isu tertentu dan oleh itu menyebabkan isu-isu tersebut dianggap penting oleh pihak umum (Werner,J.S. & Tenkard, J.W. 1988:366). Media massa mampu menentukan isu-isu dan kejadian yang harus diberi perhatian dan ini menentukan tahap ianya diketahui dan dibincangkan oleh masyarakat. Menurut model penentuan agenda, media massa bertindak kepada perangsang dalam persekitaran yang mendorongnya mempengaruhi pengetahuan umum dan ini membawa kepada tindak balas perilaku umum (Mohd. Hamdan Hj. Adnan, 1995:125).
Seterusnya, penentuan agenda merujuk kepada kuasa media untuk menumpukan perhatian khalayak terhadap sesuatu isu atau kejadian. Keluasan, kekerapan dan keutamaan yang
diberikan oleh media massa kepada isu itu dipercayai boleh menentukan tahap pemerhatian, tindak balas atau pemikiran masyarakat umum terhadapnya. Mereka yang terdedah kepada isu tersebut akan membuat tafsiran mengikut minat dan keperluan sendiri berdasarkan pengetahuan, pengalaman, perwatakan dan kedudukan dalam struktur sosial. Media massa dapat mempengaruhi khalayak tentang apa yang seharusnya diberi perhatian dalam media massa dan mempengaruhi orang ramai tentang apa yang akan dibicarakan oleh khalayak sesama sendiri.
Perletakan jawatan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan perlantikan Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri kelima secara peralihan kuasa menjadi agenda utama media cetak dan media elektronik di Malaysia. Oleh itu, media massa memainkan peranan penting menonjolkan agenda yang menyokong proses peralihan kuasa tersebut. Secara tidak langsung dapat mempengaruhi pemikiran rakyat menyokong hasrat kepimpinan negara.
Kesan daripada peranan media massa sebagai penentu agenda adalah rakyat yang terpengaruh dengan sesuatu isu yang dimomokkan oleh media massa dan sekaligus membentuk sokongan masyarakat terhadap sesuatu isu atau pihak. Akhbar dan televisyen mempunyai pengaruh yang besar dalam membentuk pendapat umum atau public opinion. Contohnya, peranan akhbar dalam menyampaikan berita, memberi ulasan, menyiarkan pendapat pembaca tentang perkara-perkara tertentu dapat mempengaruhi pembaca dan mendesak kerajaan melalui berita, penonjolan yang diberi kepada sesuatu berita, pendapat-pendapat rakyat, dan sebagainya.
Kesan penentuan agenda dalam proses sosialisasi politik oleh media massa khususnya televisyen dan akhbar ialah peningkatan keperluan menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di kalangan masyarakat. Kesan ini dapat dilihat dengan jelas semasa penonjolan isu-isu sensitif semasa negara menghadapi zaman kegawatan ekonomi. Tentu kita masih ingat kelantangan dan keberanian pertubuhan seperti Pang Jiau Zeng dan Suqiu mencabar dasar kerajaan dan hak istimewa orang Melayu akibat daripada kegawatan ekonomi 1998 (Aziz Ishak, 1 Jun 2003). Justeru, media massa di Malaysia dikawal oleh kerajaan untuk memastikan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam terus stabil. Sekiranya media massa tidak mengawal atau terus menonjolkan isu tersebut, sudah pasti akan mewujudkan ketegangan kaum.
Kita juga dapat melihat kesan media massa sebagai penentu agenda dalam liputan meluas mengenai isu sekolah wawasan, pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris serta isu Sekolah Agama Rakyat yang dipolitikkan. Kesedaran rakyat terhadap isu ini semakin
bertambah dan semakin menjadi perbincangan hangat di kalangan khalayak. Oleh itu, media massa sebagai penentu agenda dapat membentuk tingkah laku masyarakat terhadap isu-isu tersebut dan menjadi agenda rakyat untuk mengikuti perkembangan isu ini di peringkat akar umbinya. Akhirnya, isu-isu tersebut dapat diterima baik masyarakat dengan baik melalui penjelasan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin negara dalam media-media massa.
Contoh lain kesan peranan media massa sebagai penentu agenda adalah isu tentang budaya politik yang sering dikaitkan dengan kekotoran, kejelekan, tipu daya dan kerakusan kuasa. Disebabkan pandangan umum inilah ada kalangan masyarakat yang melihat politik sebagai ‘najis’ dan virus yang boleh mencemarkan dan membinasakan jati diri pengamalnya. Natijahnya, masyarakat mula benci dengan sepak terajang politik Machiavelli (Utusan Malaysia, 4 Jun 2003). Tentu kita masih ingat Dato’ Shahnon Ahmad pernah menggemparkan tanah air dengan novelnya yang mencerca politik dengan bahasa yang kotor dan kesat sehingga novel tersebut diharamkan. Sebenarnya, media cetak dan media elektronik telah mencetuskan pelbagai isu dan peristiwa untuk menarik penyokong agar menyokong kerajaan. Ini menunjukkan media massa, dengan memberikan penonjolan kepada sesuatu berita akan mempengaruhi bahan perbincangan di kalangan khalayaknya. Isu di atas memberi kesan apabila semakin banyak rakyat Malaysia yang menyedari perlunya mereka memilih pemimpin politik yang memiliki ketokohan dan ketrampilan diri yang sesuai dengan kehendak mereka.
Media massa berkemampuan menyediakan agenda untuk sesuatu isu, membuat dan mengubah imej calon, mengubah sikap dan perasaan pengundi, dan mempengaruhi para pengundi untuk mengundi seseorang calon. Oleh itu, apa-apa maklumat yang dibaca dalam media massa, khususnya akhbar, membantu rakyat membuat pemilihan yang tepat. Menurut Rebecca Quarles (Azizul Halim Yahya, Nov. 1993), seorang penyelidik politik Amerika Syarikat, pendedahan melalui akhbar lebih memberi kesan dalam meningkatkan maklumat tentang calon yang akan bertanding berbanding dengan media lain. Laporan yang berasas dapat membantu bakal pengundi membuat pilihan.
8.0 Kesimpulan
Sejauhmanakah ketepatan maklumat sesuatu isu yang disalurkan oleh media masa? Kebanyakan negara di dunia, media masa dikawal oleh parti pemerintah. Semua media di dunia, termasuk yang mendabik dada sebagai pengamal media bebas , tidak dapat lari daripada hakikat bahawa tanggungjawab pertama mereka ialah kepada pemilik media terbabit (Berita Harian, 2 Mei 2003). Kita telahpun membincangkan beberapa perkara berhubung media massa di Malaysia. Perbincangan ini juga telah mengupas peranan media massa dan kesannya ke atas proses sosialisasi politik di Malaysia. Antaranya adalah media massa adalah sumber maklumat utama mengenai kerajaan dan tentang politik; media massa berperanan sebagai alat pemujukan dan sokongan politik; dan peranannya dalam pembentukan agenda.
Setiap peranan yang dimainkan oleh media massa akan memberikan implikasi sama ada kesan positif mahupun kesan negatif. Antara kesan media massa ke atas sosialisasi politik yang telah dibincangkan adalah berjaya memujuk masyarakat memilih pemimpin yang dipercayai, memberi sokongan politik kepada tokoh-tokoh yang digemari, memperoleh maklumat yang tepat dan benar mengenai sesuatu isu dan sebagainya. Antara kesan negatif adalah kerajaanmelalui kawalan ke atas media, hilangnya kepercayaan rakyat terhadap parti pemerintah, masyarakat kurang yakin kepada berita yang disampaikan oleh media massa, menjatuhkan sesebuah pemerintahan, dan sebagainya.
Media massa yang memberikan penonjolan sesuatu berita atau isu akan dapat mempengaruhi khalayaknya. Media massa juga berpotensi dalam menjanakan wacana tertentu yang kemudiannya menjadi begitu popular dan dominan hinggakan wacana ini pada keseluruhannya boleh mempengaruhi minda sebilangan besar ahli masyarakat berkenaan dalam konteks rakyat memikirkan satu-satu isu sosial (Mustafa Karim. Febuari 1997).
Namun begitu, media massa tempatan perlulah berhati-hati dan bertindak bijak dalam melaporkan isu yang berkaitan dengan politik. Media massa juga haruslah mengelakkan diri daripada berkecenderungan berpaut pada pemberitaan politik sensasi atau atau keterlaluan. Langkah ini wajar difikirkan dan diambil tindakan oleh pihak media massa bagi menjamin rakyat mendapat maklumat yang betul, tepat, dan dapat membantu rakyat memahami politik tanah air dengan lebih jelas dan telus. Kerapuhan isu dan pelanggaran etika kewartawanan dalam melaporkan isu-isu khususnya politik akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap pemimpin politik, sistem demokrasi, dan media massa itu sendiri.
Senarai Rujukan :
Aziz Ishak. 2003. “Cabaran politik nasional. dalam Utusan Malaysia.
Azizul Halim Yahya. “Laporan Akhbar Menentukan Kemenangan Calon?”, dalam Dewan Masyarakat. November 1993. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Baharom Mahussin. “Pengaruh Pilihan raya Indonesia”. Massa. 1 Mei 1999.
Beer, S.M. & Adam Ulan. 1958. Patterns of Government. New York.
Berita Harian, “Jumlah hadir ceramah bukan lambang kekuatan pembangkang”, 20 Ogos 1999.
Jamhuri Jaafar. “Dunia media tidak pernah miliki kebebasan mutlak”. Berita Harian. 2 Mei 2003.
Everrete E. Dennis, Arnold H. Ismach, Donald M. Gillmer. 1994. Penterjemah Md. Salleh Kassim. Isu-isu Komunikasi Massa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Gouldner, A. 1976. The Dialectic of Ideology and Technology. New York: Seabury.
Halloran, J.D. (ed) Effects of Television. London: Panther Books Ltd.
Kamus Dewan. 1989. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lerner, D. & Wilbur, S. 1967. Pen Comunication and Change in the Developing Nations. Honolulu: East West Press.
Massa. 3 April 1999. “Keadilan untuk menggugat atau tergugat”. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Massa. 1 Mei 1999. “Yang muda ghairah mendaftar”. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mansor Ahmad Saman, Ramli Mohamed, Shawaluddin Aris, 1984. Pengantar Kumunikasi. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
Mohd. Hamdan Adnan. 1986. “Komunikasi: Peranan dan pengkhususannya”. dalam Mohd. Rajib dan Mohd. Hamdan Adnan (ed.) 1986. Komunikasi Sebagai Profesion. Kuala Lumpur: Karya Bestari.
Mohd. Hamdan Hj. Adnan. 1995. Pendapat Umum. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Mohd. Yusman Awang. “Ke mana undi bukan Melayu?”. Massa. 1 Mei 1999. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mustafa K. Anuar. “Mereka” dan “Kita”. Dewan Masyarakat. Februari 1997. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rosni Hassan. “Menilai Undi Rakyat”. Massa. 2Oktober 1999. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Saodi Mat Attar. “Johor tawan Seri Pantai. Berita Harian. 18 Jun 1994.
UNESCO. 1984. Many Voices, One World (the MacBride Report Abridged Edition). Britain: UNESCO.
Utusan Malaysia. 4 Jun 2003. “Budaya politik Melayu perlu dijernihkan”.
Werner, J. S. & Tenkard, J.J. 1988. Penterjemah Vincent Lowe & Abdullah b. Hussein. Teori Komunikasi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Y. Mansoor Marican. 1982. Dasar Ilmu Politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Zakry Abadi. 1992. Mahathir Dalam Dilema Melayu. Balakong: Polygraphic Marketing.
Salam, boleh update reference untuk sejarah media massa?
ReplyDeleteterima kasih.. sangat membantu dalam mengulangkaji..
ReplyDeleteterima kasih . catatan anda menjadi rujukan saya . ;)
ReplyDeleteAssalam..mohon d jadikan rujukan utk esaimen..:-)
ReplyDeleteAgen Bola Terbaik & Terpercaya
ReplyDeleteAyo Bertaruh Bersama kami di agens128. win
Dapatkan Bonus New Member 10%
Bonus cashback setiap minggunya
BBM : D8B84EE1 / BBM : AGENS128
WhatsApp : 087789221725