KAJIAN KEPIMPINAN

Kajian Dalam Dan Luar Negeri

Selain kajian-kajian terawal yang dibincangkan di atas, terdapat kajian-kajan lepas yang dilakukan sama ada di Malaysia mahupun di luar negara. Kajian-kajian berhubung tingkah laku atau kepimpinan dalam negeri agak banyak dijalankan oleh pengkaji-pengkaji, khususnya dalam bidang perguruan. Dalam bab ini kajian-kajian lepas tersebut akan dikategorikan kepada kajian dalam negeri dan kajian luar negeri. Walau bagaimanapun, kajian-kajian tersebut telah menunjukkan bahawa tidak satu pun tingkah laku kepimpinan sama ada dimensi struktur tugas dan timbang rasa yang dikatakan lebih baik daripada yang lain. Kajian-kajian yang telah dijalankan tersebut juga menunjukkan bahawa kebanyakan pemimpin menggabungkan kedua-dua jenis tingkah laku kepimpinan dalam mencapai matlamat organisasi.

Kajian Dalam Negeri

Beberapa penyelidikan tentang gaya kepimpinan guru besar telah dilakukan di Malaysia. Thandi (1972) di dalam kajiannya menggunakan 66 orang pengetua dan 1078 orang guru biasa di beberapa buah sekolah di Johor. Hasil kajian beliau menunjukkan dua pertiga daripada pengetua-pengetua tersebut mempunyai gaya kepimpinan yang demokratik.

Kajian oleh Noran Fauziah Yaakub dan Ahmad Mahdzan Ayob (1993) dijalankan ke atas gaya kepimpinan pengetua dan pencapaian sekolah di Selangor. Hasil kajian mereka mendapati bahawa gaya kepimpinan pengetua yang bertimbang rasa mewujudkan kepuasan kerja di kalangan guru sehingga mempengaruhi prestasi akademik sekolah.

Rohaya Ibrahim (1995) telah menjalankan penyelidikan yang bertujuan mengenal pasti aktiviti kepimpinan pengetua dan guru besar di dalam bidang perancangan, penilaian, dan budaya organisasi, tingkah laku kepimpinan mereka dalam ketiga-tiga bidang tersebut dan hubungannya dengan kepuasan kerja. Dapatan penyelidikan mendapati tingkah laku kepimpinan adalah berorientasikan pertimbangan di dalam ketiga tiga bidang kepimpinan yang dikaji. Analisis korelasi pula menunjukkan wujud hubungan positif yang signifikan di antara kepuasan kerja secara pertimbangan di dalam bidang perancangan, penilaian, dan budaya organisasi. Implikasi dapatan ini menunjukkan tingkah laku kepimpinan cenderung ke arah pendekatan humanistik.

Bihud Apok (1996) telah mengkaji gaya kepimpinan 20 orang guru besar di daerah Bau, Sarawak. Beliau mendapati guru besar-guru besar di daerah tersebut mengamalkan kedua-dua dimensi gaya kepimpinan bertimbang rasa dan struktur tugas. Kajian beliau juga mendapati guru besar di daerah tersebut lebih mementingkan gaya kepimpinan bertimbang rasa. Di samping itu, Bihud Apok juga mendapati tidak terdapat hubungan yang signifikan di antara gaya kepimpinan guru besar di dalam dua dimensi struktur tugas dan timbang rasa dengan pencapaian murid.

Di Malaysia, Aishah Abdul Rahnian (1983) menjalankan kajian ke atas 63 orang peneroka rancangan tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Kedah untuk melihat hubungan antara tingkah laku struktur tugas dan penghasilan di dalam memainkan peranan dan sikap terhadap pembangunan. Kajian mendapati gaya kepimpinan struktur tugas dan produktiviti ketua blok seperti yang diamati oleh peneroka berhubungan secara signifikan dengan sikap terhadap Perbadanan Niaga FELDA.

Rahimah Haji Ahmad (1981) membuat penyelidikan untuk melihat gaya kepimpinan guru besar di Wilayah Persekutuan. Kajian beliau mendapati sebahagian besar guru besar yang dinilai lebih tinggi di dalam dimensi tingkah laku struktur tugas. Kajian yang dibuat oleh Rahimah Ahmad dan Mohd. Yaacob Mat Nong (1988) pula, merumuskan bahawa daripada tiga kajian tempatan mengenai kepimpinan pengetua yang mereka lakukan, sebahagian besar pengetua menunjukkan gaya kepimpinan yang diingini, terutama sekali dari segi mementingkan struktur tugas.

Salmah Ahmad (1985) telah menjalankan kajian yang bertujuan melihat hubungan gaya kepimpinan dengan kepuasan kerja di kalangan pekerja yang tugas berstruktur dan tidak berstruktur. Beliau menggunakan alat ukur LBDQ-Xll dalam mendefinisikan kepimpinan dimensi timbang rasa dan pendayautamaan struktur dengan kepuasan kerja. Analisis korelasi secara subkumpulan menunjukkan struktur tugas mempunyai peranan dalam mempengaruhi hubungan tingkah laku timbang rasa dengan kriteria. Didapati di kalangan pekerja yang tugasnya berstruktur, timbang rasa mempunyai hubungan positif yang signifikan dengan kepuasan kerja.

Kajian Tamrin Zaharudin (1995) bertujuan mengenal pasti kesan stail kepimpinan pengetua dan gelagat pengurusan mereka ke atas pencapaian akademik sekolah. Dapatan kajian menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan di antara stail kepimpinan struktur tugas pengetua dengan pencapaian akademik sekolah. Dapatan juga menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan di antara kedua-dua stail kepimpinan dengan gelagat pengurusan pengetua.

Yusup Taib (1996) telah menjalankan kajian untuk mengenal pasti persepsi guru-guru Melayu, China, dan India terhadap stail kepimpinan pengetua sekolah menengah gred A dalam daerah pentadbiran pendidikan Baling dan Sik. Dimensi stail kepimpinan pengetua dikenal pasti sama ada mempunyai pendekatan pendayautamaan struktur dan pertimbangan. Hasil kajian ini menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan di antara komitmen guru-guru (komitmen afektif dan komitmen penerusan) dengan stail kepimpinan pengetua pendekatan pendayautamaan struktur dan pertimbangan. Hubungan
yang signifikan juga wujud di antara iklim sekolah dengan stail kepimpinan tersebut. Dapatan kajian ini menunjukkan tidak terdapat perbezaan stail kepimpinan yang signifikan berdasarkan ciri demografi. Hasil kajian secara jelas menunjukkan guru-guru mempunyai pengetua yang mementingkan struktur kerja berbanding pendekatan pertimbangan.

Alageswary (1980) dalam kajiannya tentang gaya kepimpinan guru besar di Selangor dan Wilayah Persekutuan mendapati gaya kepimpinan pengetua mempunyai perkaitan yang positif dengan iklim sekolah. Iklim sekolah pula mempunyai hubungan yang positif dengan pencapaian pelajar. Kajian itu menunjukkan tingkah laku pengetua yang mengambil berat kepentingan staf didapati mempunyai korelasi yang positif dengan iklim sekolah. Kajian beliau juga mendapati satu pertiga daripada guru besar tersebut mengamalkan gaya kepimpinan campuran antara struktur tugas dan timbang rasa.

Teo (1983) menjalankan kajian ke atas 40 orang responden dan beberapa organisasi tempatan dalam organisasi Jepun yang terletak di Zon Perindustrian Shah Alam. Kajian ini bertujuan untuk memahami faktor-faktor yang mempengaruhi gaya kepimpinan dalam organisasi berkenaan. Keputusan kajian menunjukkan bahawa organisasi Jepun yang menekankan tenaga, usaha, dan keperluan-keperluan kumpulan mengutamakan gaya kepimpinan dimensi timbang rasa. Manakala gaya kepimpinan tempatan lebih cenderung ke arah dimensi struktur tugas.

Suaidah Ahmad (1984), dalam kajiannya ke atas 75 orang guru di sekolah rendah dan menengah melihat hubungan gaya kepimpinan dan kepuasan kerja. Kajian mendapati guru besar megamalkan dua dimensi tingkah laku. Apabila kedua-dua dimensi dihubungkan dengan kepuasan kerja, didapati tingkah laku timbang rasa mempunyai korelasi yang positif dengan kepuasan kerja guru.

Kajian yang dilakukan oleh Salam Saffar (1986) bertujuan meninjau tingkah laku kepimpinan guru besar melalui persepsi guru-guru penolongnya di sekolah-sekolah menengah di daerah Pontian dan Batu Pahat, Johor. Corak kepimpinan guru besar ditentukan oleh dua dimensi tingkah laku iaitu yang menekankan penyempurnaan tugas dan hubungan manusia yang diukur menggunakan alat ukur LBDQ. Dapatan kajian ini menunjukkan 70.6 peratus daripada guru besar yang terlibat dipersepsikan sebagai mempunyai tingkah laku kepimpinan yang menekankan kedua-dua dimensi penyempurnaan tugas dan hubungan manusia. 26.5 peratus dipersepsi mempunyai tingkah laku kepimpinan yang kurang menekankan hubungan manusia tetapi sebaliknya lebih menekankan kepada penyempurnaan tugas. Analisis berdasarkan dimensi menggambarkan bahawa pola tingkah laku kepimpinan guru besar yang terlibat ialah kekuatan kepada penyempurnaan tugas.

Ahmad Mohammad Sharif (1989) membuat kajian ke atas 225 orang guru-guru sekolah vokasional di Malaysia. Kajian ini bertujuan mengenal pasti hubungan gaya kepimpinan dan keberkesanan organisasi dengan kepuasan kerja. Beliau mendapati gaya kepimpinan pengetua adalah rendah dalam kedua-dua tingkah laku struktur tugas dan timbang rasa. Tahap kepuasan kerja guru juga rendah. Apabila guru-guru mereka mengamati tingkah laku struktur tugas tinggi, kepuasan intrinsik guru juga tinggi.

Mohd Shaphri bin Mohd Yusof (1995) telah membuat kajian mengenal pasti persepsi guru terhadap gaya kepimpinan yang sebenarnya bagi guru besar sekolah rendah gred A di daerah Pontian, Johor. Pola gaya kepimpinan guru besar juga dikenal pasti sama ada mempunyai gaya kepimpinan “struktur tinggi dan pertimbangan tinggi”, “struktur rendah dan pertimbangan tinggi”, “ struktur tinggi dan pertimbangan rendah”, dan struktur
rendah dan pertimbangan rendah”. Ciri peribadi seperti jantina, umur, status perkahwinan dan tempoh perkhidmatan digunakan untuk melihat sama ada wujud perbezaan signifikan dari segi persepsi guru-guru terhadap gaya kepimpinan guru besar yang sebenarnya. Hasil kajian menunjukkan bahawa 85.7 peratus daripada guru besar yang dipersepsikan oleh guru-guru sebagai mempunyai gaya kepimpinan “struktur tinggi dan pertimbangan tinggi”.

Kajian yang dibuat oleh Kamaruddin Deraman (1997) bertujuan mencari perkaitan di antara gaya kepimpinan yang diamalkan oleh pengetua dengan tahap motivasi guru-guru di sekolah menengah di zon Pudu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Hasil kajian menunjukkan bahawa daripada 222 responden, 203 (91.4%) responden membuat pengamatan bahawa pengetua mengamalkan gaya kepimpinan dimensi struktur tugas yang tinggi. Manakala 141 responden (63.5%) membuat pengamatan bahawa pengetua mereka mengamalkan gaya kepimpinan timbang rasa yang tinggi. Oleh itu, dapatan hasil kajian beliau menunjukkan guru besar mengamalkan gaya kepimpinan struktur tugas yang tinggi dan timbang rasa yang tinggi. Kajian beliau juga mendapati terdapat perkaitan di antara gaya kepimpinan (struktur tugas dan timbang rasa) dengan tahap motivasi guru-guru.

Kajian Mohd. Azam Mohd. Isa (1997) bertujuan mengenal pasti persepsi guru sekolah rendah terhadap stail kepemimpinan guru besar mereka. Kajian tersebut menggunakan faktor demografi untuk melihat hubungan yang mungkin wujud dari persepsi guru terhadap stail kepemimpinan guru besar. Hasil kajian menunjukkan bahawa guru dari segi jantina, status perkahwinan dan tempoh perkhidmatan tidak memberikan perbezaan persepsi yang signifikan terhadap stail kepemimpinan guru besar sama ada berdasarkan aspek mengadakan struktur atau pendekatan pertimbangan. Sebaliknya, guru yang berumur kurang daripada 25 tahun menunjukkan perbezaan persepsi terhadap aspek pendekatan pertimbangan berbanding dengan guru berumur antara 36 hingga 45 tahun. Walau bagaimanapun, kajian beliau mendapati persepsi guru terhadap stail kepemimpinan guru besar, tinggi dalam kedua-dua aspek mengadakan struktur dan pendekatan pertimbangan iaitu guru besar mengamalkan stail kepemimpinan demokratik.



Kajian Luar Negara

Antara kajian-kajian tingkah laku kepimpinan bertimbang rasa di luar negara adalah kajian McKaig (1980). Kajian beliau bertujuan mencari hubungan gaya kepimpinan
pengetua dengan motivasi guru sekolah rendah dan menengah di Indiana. Kajian mendapati ada perkaitan antara tingkah laku kepimpinan dimensi timbang rasa dan struktur dengan keperluan keselamatan, keperluan dihargai, keperluan autonomi, dan keagungan diri. Beliau menyatakan bahawa tingkah laku pengetua yang mengamalkan orientasi kemanusiaan mungkin merupakan gaya yang berkesan dalam usaha meningkatkan motivasi orang bawahan.

Matsui, Othsuke, dan Kikuchi (1978) telah menjalankan kajian ke atas 79 orang penyelia di tiga buah syarikat yang berbeza di Jepun. Hasil kajian mereka mendapati kepimpinan dalam dimensi timbang rasa mempunyai korelasi yang positif dengan nilai skor benevolence (kebajikan). Sebaliknya, kepimpinan yang berorientasikan struktur mempunyai korelasi negatif dengan skor independance (kebebasan).

Gilbert (1982) membuat kajian di Saskatchewan, Kanada yang bertujuan melihat hubungan di antara gaya kepimpinan sebagaimana yang dipersepsikan oleh pengetua dan guru, dan tekanan kerja sebagaimana dipersepsikan oleh pengetua. Sampel kajian seramai 186 orang guru dan 34 orang pengetua. Kajian mendapati perkaitan antara gaya kepimpinan dengan tekanan kerja. Gaya kepimpinan yang paling dominan adalah pengetua yang mengamalkan rendah pendayautamaan struktur dan tinggi timbang rasa.

Kajian Morgan (1985) menggunakan seramai 114 sampel untuk mencari hubungan gaya kepimpinan dengan Ketua Jabatan Bahasa Inggeris di maktab dan universiti terpilih di Amerika Syarikat. Kajian mendapati ketua jabatan yang membuat pengamatan kepada dekan yang mengamalkan tinggi dalam timbang rasa mendapat kepuasan kerja yang lebih.

Hasil kajian Fleishman dan Harris (1989) menunjukkan kadar kepuasan kerja di kalangan pekerja adalah tinggi di bawah pemimpin yang dinilai tinggi dalam dimensi timbang rasa. Sebaliknya pemimpin yang dinilai tinggi dalam dimensi struktur pula mempunyai kadar kepuasan kerja yang rendah.

Dalam kajian yang dilakukan oleh VanZanten (1988) untuk melihat perkaitan antara gaya kepimpinan dengan pencapaian pelajar, alat ukur Leader Behavior Description Questionnaire (LBDQ-Xll) digunakan bagi mengukur gaya kepimpinan dan pencapaian pelajar diukur menggunakan California Achievement Test (CAT). Gaya kepimpinan mengarah mempunyai pengaruh yang positif ke atas pencapaian pelajar.

Boyer (1982) dalam kajiannya ke atas 133 responden telah menggunakan alat ukur LBDQ dan Management Position Questionnaire (MPQ). Hasil kajian mendapati gaya kepimpinan yang paling berkesan dalam meningkatkan motivasi orang bawahan adalah gaya kepimpinan yang tinggi di dalam kedua-dua dimensi struktur tugas dan timbang rasa.

Selain itu, kajian yang dijalankan oleh Tomi (1985) ke atas 309 orang kakitangan akademik dan 33 orang ketua jabatan di Universiti Akron juga menggunakan alat ukur LBDQ dan MPQ. Hasil kajian menunjukkan bahawa gaya kepimpinan yang tinggi di dalam kedua-dua dimensi struktur tugas dan timbang rasa mempunyai perkaitan dengan keperluan kepuasan yang tinggi. Beliau merumuskan bahawa tingkah laku pemimpin yang tinggi dalam kedua-dua dimensi struktur tugas dan timbang rasa adalah paling berkesan dalam memberi motivasi kepada pekerjanya.

Kajian Riordan (1987) ke atas 222 orang guru daripada 25 buah sekolah dengan menggunakan alat ukur LBDQ dan Job Diagnostic Survey (JD) telah mengenal pasti bahawa terdapat perkaitan yang signifikan di antara motivasi kerja guru dengan gaya kepimpinan pengetua. Mereka mencadangkan bahawa guru-guru akan lebih bermotivasi apabila pengetua mengamalkan tingkah laku timbang rasa dan struktur tugas.

Manakala kajian yang dilakukan oleh Tatter, Bliss, dan Hoy (1989) mengenai iklim sekolah, mendapati sekolah yang mempunyai iklim yang sihat adalah dipimpin oleh pengetua yang dinamik, iaitu pengetua yang mengamalkan gaya kepimpinan dalam kedua-dua dimensi struktur tugas dan timbang rasa. Di bawah kepimpinan tersebut, guru-guru mempunyai komitmen yang tinggi terhadap pengajaran, di mana guru-guru ini menetapkan satu nilai tara yang tinggi tetapi boleh dicapai.

Dapatan-dapatan kajian yang telah dinayatakan sebelum ini bercanggah dengan kajian oleh Aduba-Dike (1990). Beliau menjalankan kajian ke atas 180 orang pekerja Blue Cross Blue Shield Michigan (BCBSM). Tujuan kajian adalah untuk melihat perkaitan gaya kepimpinan penyelia syarikat berkenaan dengan tahap motivasi pekerjanya. Instrumen yang digunakan adalah Profile of Organization Characteristic (POC) dan Work Motivation Inventory (WMI). Kajian ini tidak menemui apa-apa perkaitan di antara gaya kepimpinan penyelia dengan tahap motivasi pekerja.

Comments

  1. perkongsian ilmu yang sangat baik, cuma alangkah baiknya jika dilampirkan buku rujukan...apa-apapun...tq

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Pengurusan kolam ternakan

DEFINISI KEPIMPINAN

PEMBIAKAN IKAN TILAPIA MERAH