APA ITU KEPIMPINAN

Kepimpinan didefinisikan dengan cara yang berbeza-beza daripada pelbagai sudut. Kepimpinan merupakan proses mempengaruhi kegiatan kelompok yang diorganisasikan dalam usaha untuk menentukan tujuan dan pencapaian. Gribben (1972), seorang tokoh pengurusan menyatakan bahawa kepimpinan itu adalah sebagai proses mempengaruhi sesuatu kelompok dalam situasi dan masa tertentu untuk memberi pengalaman dan kepuasan sejajar dengan kepimpinan yang diamalkan. Pendapat ini dipersetujui oleh Hersey dan Blanchard (1982) yang menyatakan kepimpinan ialah proses mempengaruhi kegiatan individu, atau kelompok dalam usaha mencapai tujuan dalam situasi tertentu.

Pandangan yang sama dikemukakan oleh Terry (1972) yang mengatakan bahawa tujuan organisasi adalah bagi mencapai sesuatu matlamat. Bagi mencapai matlamat tersebut, ia melibatkan proses mempengaruhi orang lain untuk berusaha ke arah pencapaian matlamat. Itulah yang dinamakan kepimpinan. Jadi, kepimpinan adalah kegiatan mempengaruhi orang lain untuk bekerjasama mencapai tujuan yang dikehendaki.

Menurut Stoner dan Wankel (1989), kepimpinan dalam organisasi sangat penting dan memainkan peranan yang sangat kritis dalam membantu kumpulan, organisasi, atau pertumbuhan bagi mencapai matlamat-matlamat. Oleh itu, kemahiran kepimpinan perlu ada pada pengurus kerana ia bakal menentukan tercapai atau tidaknya sesuatu matlamat.

Mengikut Certo (1997), kepimpinan ialah proses pengarahan tingkah laku orang lain ke arah penyempurnaan sesuatu objektif. Pengarahan bermaksud seseorang individu bertindak mengikut cara tertentu atau mengikut deskripsi kerja. Manakala Ahmad Atory (1996), berpendapat bahawa organisasi yang cemerlang dipengaruhi oleh kepimpinan yang cekap, khususnya dalam mencapai sesuatu matlamat. Kepimpinan dipengaruhi oleh kuasa yang ada pada seseorang pemimpin. Kuasa dalam konteks organisasi ialah sejauhmanakah seseorang, atau sesuatu unit organisasi berkeupayaan mempengaruhi pembuatan keputusan mengikut kehendaknya.

Aminuddin (1990) yang memetik Fiedler (1967) sebagai berkata kepimpinan adalah hubungan antara perseorangan yang menunjukkan kuasa dan pengaruh diagihkan secara tidak rata sehingga seseorang individu boleh mengarah dan mengawal tindakan-tindakan orang lain lebih daripada kawalan mereka ke atas individu itu.
Hollander (1984) mendefinisikan kepimpinan sebagai satu proses pengaruh-mempengaruhi antara pemimpin dan pengikut. Walaupun mempunyai kuasa, tetapi kekuatan pengaruh lebih bergantung kepada kerelaan berbanding paksaan. Hal ini disebabkan proses kepimpinan selalunya melibatkan pengaruh yang bersifat dua hala, tujuannya bagi mencapai matlamat.

Manakala Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin (1993) pula menyatakan kepimpinan adalah kebolehan untuk mendorong manusia berusaha dengan penuh keghairahan bagi mencapai matlamat yang telah dikenal pasti sehingga mencetus kuasa motivasi yang berada dalam diri individu dan membimbing mereka ke arah matlamat organisasi.

Menurut perspektif Islam, setiap orang yang beriman adalah khalifah di muka bumi yang tindakan dan perbuatannya sentiasa dalam pengawasan Allah s.w.t. Kepimpinan dalam Islam adalah berasaskan kepada nilai murni yang mendapat keredhaan Allah s.w.t. Matlamat kepimpinannya adalah untuk kebaikan dan kebajikan semua makhluk. Kepimpinan dalam Islam juga menerapkan pelaksanaan sistem syura serta mengutamakan delegasi atau agihan serta penyerahan tugas mengikut kelayakan dan kemahiran seseorang. Dalam melaksanakan kepimpinannya, pemimpin tidak boleh bertingkah laku sewenang-wenangnya, iaitu terkeluar daripada landasan perintah Allah s.w.t. atau melakukan perbuatan yang dilarang. Kepimpinan juga harus mampu mengarah, dan membimbing orang lain untuk sesuatu kegiatan (Mokhtar Efandy, 1986).

Kepimpinan menekankan kepada tingkah laku pemimpin yang mempengaruhi orang bawahan bertindak mencapai objektif tertentu. Kepimpinan adalah unsur penting dalam pengurusan yang menjadi penggerak bagi sesebuah organisasi. Kepimpinan dalam jabatan hendaklah memainkan peranan aktif dan mendorong kakitangan bawahannya memberi kerjasama dalam memberi khidmat mereka terhadap pencapaian strategi dan perancangan jabatan yang telah ditetapkan.

Sebagai rumusannya, kepimpinan adalah satu proses yang melibatkan orang lain iaitu orang bawahan, penggunaan kuasa di kalangan pemimpin, mempengaruhi dan mengarah tindak tanduk orang bawahan dalam pelbagai cara bagi mencapai matlamat organisasi. Proses ini melibatkan hubungan atau komunikasi dua hala antara orang yang memimpin dengan orang yang dipimpin. Justeru, dapat ditegaskan bahawa tugas pemimpin adalah mempengaruhi orang bawahannya supaya mengikuti tanggungjawab yang hendak dilaksanakan ke arah satu matlamat yang dirancang.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Ternakan Ikan keli Dalam Tangki

Pengurusan kolam ternakan

PEMBIAKAN IKAN TILAPIA MERAH