KAJIAN AWAL KEPIMPINAN
Kajian-kajian awal tentang tingkah laku kepimpinan telah dijalankan oleh pelbagai pihak. Antaranya, kajian oleh Universiti Iowa, Kajian Ohio State University, dan Kajian Universiti Michigan. Salah satu kajian tingkah laku kepimpinan terawal dilakukan oleh Kurt Lewin dan rakan-rakannya di Universiti Iowa. Dalam kajian ini, pengkaji-pengkaji telah mengkaji tiga jenis tingkah laku atau gaya kepimpinan iaitu autokratik, demokratik, dan laissez-faire. Tingkah laku autokratik ditakrifkan sebagai pemimpin yang berpusatkan kuasa, mengarahkan cara-cara kerja, membuat keputusan sendiri, dan mengehadkan penyertaan subordinat. Tingkah laku demokratik pula merujuk kepada ketua yang cenderung untuk melibatkan subordinat dalam membuat keputusan, menentukan kaedah kerja dan matlamat, serta menggunakan maklum balas sebagai peluang untuk melatih subordinat. Manakala tingkah laku laissez-faire memberi kebebasan kepada kelompok untuk membuat keputusan dan menyelesaikan kerja mengikut cara mereka sendiri ...